Cari Post lain disini

Tuesday, December 5, 2017

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia

No Ruj : 11/17/20 04 Dec 2017 Embargo : Untuk Siaran Segera 

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Arkib Negara Malaysia pada 4 Disember 2017.

Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz pada hari ini.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling berwarna (pruf) ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM230 sekeping. Jumlah tempaan adalah sebanyak 500 keping.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Jumlah tempaan adalah sebanyak 10,000 keping.

Nota: Harga tertakluk kepada 6% GST.

Duit syiling ini juga boleh didapati dalam set dua dalam satu. Set ini mengandungi duit syiling perak berwarna (pruf) dan duit syiling emas nordic (pruf). Set ini akan dijual pada harga RM280 setiap set (harga tertakluk kepada 6% GST.) dan sebanyak 700 set disediakan. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.


Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan

Perkataan “60th ANNIVERSARY OF NATIONAL ARCHIVES OF MALAYSIA” tertera disekeliling duit syiling mengikut pusingan arah jam. Logo berwarna jingga keemasan yang dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling melambangkan sambutan ulang tahun Arkib Negara Malaysia yang ke-60.

2. Bahagian Belakang

Imej pada bahagian tengah duit syiling memaparkan logo Arkib Negara Malaysia yang terdiri daripada kepingan kertas yang disusun melambangkan dokumen-dokumen dan rekod kebangsaan. Bentuk bintang pada bahagian tengah logo pula berdasarkan bintang pada bendera Malaysia, yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia. Perkataan Arkib Negara Malaysia dalam tulisan rumi dan jawi di sekeliling logo menunjukkan tanggungjawab Arkib Negara Malaysia dalam menjaga dokumen-dokumen dan rekod negara. Enam puluh dentil pada sekeliling duit syiling menandakan 60 tahun penubuhan Arkib Negara Malaysia. Nama "BANK NEGARA MALAYSIA" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka duit syiling pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.

Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini ditunjukkan pada Lampiran II.


Pameran untuk Orang Ramai dan Jualan

Contoh duit syiling ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Selasa, 12 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna dan tiga duit syiling emas nordic bagi setiap pembeli). Untuk memudahkan pembelian duit syiling peringatan ini, orang ramai boleh membuat tempahan melalui kemudahan tempahan dalam talian yang baharu. Maklumat lanjut tentang kemudahan tempahan dalam talian, tempahan dan tempoh pengambilan akan diumumkan kepada orang ramai melalui siaran akhbar sebelum tarikh jualan.

Pelancaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Ke-60 Arkib Negara Malaysia

[Kiri-Kanan] Puan Yatimah binti Rimun, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan; Encik Thomas Tan Koon Peng, Pengarah, Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang, BNM; Datuk Azemi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia and Encik Ihsan bin Hj. Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan.

Bank Negara Malaysia
04 Dec 2017

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute