Cari Post lain disini

Tuesday, December 20, 2016

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Ke-50

No Ruj : 12/16/08 20 Dec 2016 Embargo : Untuk Siaran Segera

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan ulang tahun Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang ke-50. FELCRA ditubuhkan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui penyertaan yang lebih besar dalam ekonomi negara. Berlandaskan keupayaan dalam bidang pengurusan ladang dan pemulihan tanah, FELCRA telah mempelbagaikan bidang kegiatannya dengan menyertai sektor perindustrian, perkhidmatan dan bidang perniagaan lain. Duit syiling peringatan ini dilancarkan hari ini oleh YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini adalah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 700 keping sahaja ditempa.

Nota: Harga tertakluk kepada 6% GST.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 13,000 keping sahaja ditempa.

Nota: Harga tertakluk kepada 6% GST.

Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set dua dalam satu, yang mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas nordic. Sebanyak 2,000 set akan dijual pada harga RM250 setiap set. Butiran terperinci mengenai spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Lampiran I: Spesifikasi Teknikal



Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan

Bahagian tengah duit syiling ini memaparkan imej pokok kelapa sawit dan getah, di tengah-tengah landskap hijau yang melambangkan perniagaan perladangan teras FELCRA, berserta jalan raya yang menuju ke bangunan pencakar langit Kuala Lumpur sebagai latar belakang. Perkataan "SAMBUTAN JUBLI EMAS FELCRA" dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tahun 1966-2016 tertera pada bahagian bawah duit syiling ini.

2. Bahagian Belakang

Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala nilai muka syiling tertera pada bahagian bawah duit syiling ini. Pada bahagian tengah duit syiling dipaparkan logo rasmi sambutan jubli emas FELCRA.

Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini ditunjukkan pada Lampiran II.

Lampiran II: Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Ulang Tahun Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Ke-50

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 21 Disember 2016 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) yang terletak di Sasana Kijang, 2 Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur dan di pejabat wilayah di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching serta di cawangan Kuala Terengganu.

Bank Negara Malaysia
20 Dec 2016

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute